Wednesday, August 26, 2009

Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh

Bismillahirrahmanirrahim..

"Apelah along ni, blaja kat negeri miskin,". Itulah kata - kata yang sering saya ucapkan setiap kali Along (my only big bro) pulang bercuti daripada UITM Kem Kijang, Kelantan.

"Mane adik tau negeri tu miskin? Nanti dapat blaja kat situ baru tau,"

"Ee, tak nak,"

3 tahun Along di KELANTAN, belajar dalam bidang accountancy sebelum melanjutkan pelajaran ke Stirling, Scotland. Along ke UITM semasa saya berusia 7 tahun.

KELANTAN..Itulah negeri yang saya katakan miskin. Kali pertama saya ke Kelantan adalah ketika menghantar Along ke UITM. Kami tidak sempat untuk meronda - ronda di bandar KB, hanya sempat berkunjung ke Taman Buaya. Saya sendiri tidak pasti kenapa saya memberi title 'miskin' kepada negeri 'Serambi Mekah' tersebut. Mungkin kerana negeri Kelantan adalah satu - satunya negeri yang dikuasai oleh parti berlambang bulan(ketika itu). Guess, i was so unfair at that time, judging a place without even knowing it.

................................

Semasa tingkatan 1, kakcik mendapat tawaran ke SESMA (sebuah SBP di Terengganu) dan abah pula dilantik menjadi AJK PIBG di sekolah tersebut.

"Bila dah kakak masuk SBP, adik dia pun kenalah masuk SBP," begitulah kata- kata yang sering di ulang - ulang oleh Ma dan Abah semenjak kakcik ke SBP.

Tak semena - mena saya yang menjadi mangsa. Jujur saya katakan, saya tidak berminat ke tiga jenis sekolah; sekolah berasrama(alasan: sayang nak tinggalkan rumah), girl's school (alasan: bosan, nanti tak ada kawan nak cakap pasal bola) dan sekolah agama (alasan: tak nak belajar bahasa Arab). Tapi, saya hanya berdiam diri. Tidak mahu mengecewakan ma dan abah.
"Tengoklah, nanti dah UPSR, dapat 5A bolehlah pergi SBP,kalo tak.." itulah jawapan yang saya berikan. Demi menghormati kehendak ma dan abah.

Alhamdulillah, saya mendapat 5A dalam UPSR. Beberapa bulan selepas itu, saya menerima sepucuk surat. Siapalah yang bagi surat ni? Maklumlah selama ni jarang - jarang sekali dapat surat.

Saya membuka surat tersebut..

Ya, tawaran ke SBP, Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh..
"Kat mana sekolah ni?" saya berkata sewaktu melihat heading surat tawaran..

"Haaaaaaaaa, Kelantan! Tak ada sekolah lain dahke?"

Saya sedih membaca surat tersebut (Tak macam orang lain). Sedih sebab saya taknak ke SBP dan sedih kerana sekolah tersebut di Kelantan. Along gelak sakan mendapat tahu berita tersebut. Hujung minggu itu, kami melawat kakcik di SESMA. Abah berjumpa dengan pengetua SESMA dan memberitahu tentang tawaran yang saya terima.

"Baguslah dapat SBP. Sekolah baru tu, baru buka tahun ni. Sekolah perempuan semua.Nak blaja kat kelantan ke? Mari sekolah sini la senang. Sekali dengan kakak. Kalau nak tukar sekolah, saya boleh tolong cakap dengan kementerian," kata pengetua SESMA dalam loghat kelantan beliau.

Haaaaaaaaaaaa! Sekolah tu girls schoolke? Sekali lagi saya terkejut dan sedih. Dahla kat kelantan, girls school pulak tu.

"Eh, takpelah, biar dia duduk jauh sikit. Bagus jugak sekolah kat kelantan. Sekali - sekala boleh kami pergi ke kelantan," Abah menjawab pelawaan daripada pengetua tersebut.

Saya hanya membisu. Sedih dan agak marah. Sedih kerana hati saya menjerit - menjerit menerima pelawaan pengetua tersebut, tapi malangnya, abah yang menjawab untuk pihak saya.

8 Mac 1998.
Akhirnya, hari yang saya 'nantikan' tiba jua. Saya sedih meninggalkan rumah. Hanya Ma, abah dan Tok (nenek saudara) yang menghantar saya ke sekolah tersebut. Saya hanya diam membisu sepanjang perjalanan yang memakan masa 2 jam setengah. Ikutkan hati, nak je saya menangis dan merayu ma supaya berpatah semula ke Terengganu.

Kami tiba di sekolah pada jam 12 tengah hari. Sekali lagi saya terkejut. Ni sekolah ke atau padang jarak padang tekukur? Segalanya kering kontang, rumput yang baru ditanam pun hampir mati, yang tegak hanyalah bangunan batu. Saya sedih lebih - lebih lagi mengingatkan halaman rumah yang menghijau dan penuh dengan pokok bunga yang ditanam oleh abah. Takpelah Yanti. Asalkan ma dan abah gembira. Saya cuba memujuk hati yang sedih.

Selesai pendaftaran, kami ke dorm dan ada sedikit taklimat. Jam 3 petang, ma dan abah meninggalkan saya di tempat baru bersama rakan - rakan baru yang majoritinya orang kelantan. And of course, saya menangis ketika bersalam dengan ma dan abah. Sedih kerana itulah pertama kali saya berjauhan dengan ma dan abah. Sedih kerana tidak dapat lagi mencium tangan ma setiap kali ke sekolah seperti yang biasa saya lakukan dirumah. Hidup berjauhan mengajar saya untuk menghargai erti rindu dan menghargai kasih sayang ma dan abah. Jauh di mata tapi dekat dihati. Ma dan abah sentiasa bersama saya walaupun ke mana saya pergi. Semenjak saya ke asrama, gambar ma dan abah saya letakkan di dalam wallet, walaupun sudah beberapa kali saya menukar wallet, gambar mereka masih saya simpan (that's the 1st thing you see when u open my wallet. Insyaalah, gambar mereka akan kekal disitu,selagi saya tetap bernyawa.

Bermulalah kehidupan saya di SMSPP. Saya tidak banyak bercakap pada mulanya. Yelah, tak faham sangat bahasa kelantan. Saya ingat lagi ketika kali pertama saya bertanyakan maksud perkataan 'deghak' (maksud: keluar berjalan - jalan), ramai juga yang ketawa.

Saya dan kawan - kawan adalah pioneer SMSPP. Pada tahun pertama, hanya ada pelajar tingkatan 1 dan 4. Sekolah baru, semua benda pun baru. Kamilah yang merasmikan meja, katil, tilam, bantal dan segalanya. Segalanya baru tapi SERBA KEKURANGAN. Lab pun tidak cukup kelengkapan. Banyak eksperimen yang tidak dapat dijalankan.Kami hanya belajar teori semata - mata. Worse than that, tidak ada 1 pun pondok telefon di sekolah tersebut. Ibu bapa yang ingin menyampaikan apa - apa pesanan kepada anak - anak, hendaklah menghubungi kerani sekolah dan meninggalkan pesanan tersebut. Dua bulan selepas itu, barulah ada 2 pondok telefon yang diletakkan.

Setiap pelajar tingkatan 1 di SBP dikehendaki mengambil subjek bahasa asing. Kami juga tidak terkecuali. Sebelum mendaftarkan diri, saya memang dah berangan nak ambil subjek bahasa perancis sebab kakcikpun belajar subjek tu di SESMA. Nanti bolehlah borak dengan kakcik =). Tapi malangnya, hanya ada cikgu bahasa arab di SMSPP. Maka, semua pelajar Tingkatan 1 diwajibkan mengambil subjek Bahasa Arab. Again, I had no choice. Belajar sajalah, asalkan pass exam. Apa yang saya taknak, itulah yang saya dapat. Haish..

Setiap tahun di SMSPP pasti ada kisahnya tersendiri..Tapi sepanjang 5 tahun saya di SMSPP, kisah yang tak pernah berakhir adalah masalah bekalan air..Ye, memang hampir setiap bulan tidak ada air di sekolah. Penat bangun pagi mencari air, membawa baldi dan toiletries ke sekolah. Kadang tu sampai berebut - rebut. Dalam kelas, baju dan tuala bergantungan. Kadang - kadang tu, mandi ketika waktu prep. Kalau di sekolah pun tak ada air, kami pecahkan pili bomba. Bolehla mandi dengan air 'teh susu'. Life was tough, banyak masa dihabiskan mencari air untuk mandi, membasuh baju(walaupun tak ada air, saya tak pernah export baju ke rumah dan tidak ada perkhidmatan dobi di sekolah sehinggalah saya berada di tingkatan 4). Selalunya bila keadaan 'darurat' PK HEM akan membenarkan kami pulang pada hujung minggu. Advantage untuk orang Kelantan. Saya hanya tinggal di asrama dan lebih suka tidur di katil sendiri daripada tidur di rumah kawan - kawan. Adik - adik di SMSPP sekarang 'rugi' sebab mereka tidak merasa 'explorace' kami mencari air ;P.

Kisah-kisah tersebut hanyalah sebagai daripada juzuk kehidupan saya di SMSPP.Tidak semuanya pahit. SMSPP adalah sekolah kehidupan saya. Alhamdulillah, banyak 'turning points' dalam diri ini berlaku sewaktu saya di sekolah tersebut. Di situlah saya mentarbiyah diri supaya tidak 'malas - malas' bersolat, belajar solat berjemaah, belajar mengaji. Ye, di SMSPP lah saya belajar mengaji dan tajwid dengan baik dan itulah kali pertama saya khatam Al Quran. Malu untuk saya mengaku, tapi itulah hakikatnya. Terima kasih kepada Ustaz Hassan dan seorang lagi ustaz mengaji sewaktu saya di tingkatan satu (saya lupa nama ustaz tu). Terima kasih dan jazakillah kepada Bonda Puan Maznah (pengetua kami pada waktu itu) kerana mewajibkan kelas mengaji keapda pelajar tingkatan 1 dan 4. Alhamdulillah, syukur saya kepada Allah kerana 'menghantar' saya ke sekolah tersebut. Menyesal juga kerana tidak memanfaatkan peluang belajar bahasa Arab dengan baik sewaktu di sekolah.

GURU KEHIDUPAN...........

1. Ustaz bahasa Arab
"Ingat che', nak senang kene susah," setiap hari, ustaz pasti mengulangi ayat ini

"Hadith nabi ada kata, 3 perkara yang menggelapkan hati; banyak makan, banyak gelak dan banyak tidur. Kamu tok sah dok 'mengilai' sangat dalam musolla ni. Tak baik, Satgi gelap hati kamu," pesan ustaz hampir setiap kami selesai mengimamkan solat di musolla sewaktu menjadi warden.

"Kamu ni anak gadis waktu maghrib, toksah dok ber'gelewak' (keluar rumah) waktu maghrib. Tak elok. Banyak syaitan"

2. Cikgu Chemistry (the bestest teacher)
"Kawan saya lepas habis degree semua plan nak sambung belajar, yelah nak belajar lagi tinggi. Tapi saya, takpelah. Cita - cita saya habis degree nak belajar mengaji dengan baik. Malam - malam mengaji sambil riba anak. Tengah - tengah mengaji, anak saya koyak muka surat yang saya baca."

"Saya semalam sakit gigi, memang taknak makan tapi bila isteri masak dan ajak makan, pergilah jugak. Nak jaga hati isteri. Nanti awak kahwin, awak taulah."

"Saya nak balik rumah kejapni, pukul 10:30 dah,nanti saya mari semula, kita bincang jawapan." kata cikgu sewaktu kelas tambahan pada waktu prep malam
"Nak balik buat ape cikgu? lagi setengah jam lagi nak habis kelas," kata salah seorang daripada classmates saya.
"Eh, tak boleh, saya kene balik. Ni waktu tidur anak saya. Anak saya tak tidur kalau saya tak ada. Awak siapkan latihan. Saya balik tidurkan anak saya kejap. Awak buat kerja"

3. Cikgu Add Maths
"Saya dulu, masa kat universiti, tak paham ape satu pun yang lecturer saya ajar. Lepas kelas, saya jumpa dia dan tanya dia semula. Satu hari saya di bilik dia, belajar supaya paham betul - betul. Kamu semua ni,kalau tak paham, jangan malu - malu nak bertanya"

"Kamu nanti dah habis sekolah, jangan lupa cikgu - cikgu kat sini. Contactlah kami. Ni tak senyapje. Ni no handphone saya...No ni special. Kamu tahu kenapa? Ni birthday Puan *** (isteri cikgu add maths kami, juga merupakan cikgu bio di SMSPP). Cikgu Add Maths kami ni memang romantik =).

Saya kagum dengan mereka, pandai menyelit kisah kehidupan dan nasihat dalam mengajar kami. Dialog di atas hanyalah sebahagian kecil daripada nasihat yang mereka berikan. To be honest, syllabi subjek - subjek yang diajar, memang dah banyak yang saya terlupa, tapi insyaallah, nasihat - nasihat cikgu takkan saya lupa, buat bekalan kehidupan.

Tingkatan 4 meninggalkan banyak memori kepada saya. Memori suka dan duka. Saya dilantik menjadi ketua Blok bestari pada tahun tersebut. Penat menjaga blok lebih - lebih lagi apabila dilakukan secara paksa rela (sebenarnya, bukan saya yang dipilih oleh senior sebagai ketua blok. Tetapi Ketua Warden berkeras untuk melantik saya sebagai ketua blok. Kami semua terpaksa akur). Setiap pagi kene check tandas, bilik basuh dan setiap sudut blok, pastikan semuanya bersih. Tandas, bilik basuh, semua kena bersih dan perlu dibersihkan walaupun tak ada air di asrama. Setiap tandas dan shower perlu diperiksa. Bau tandas dan sinki (lebih - lebih lagi apabila tidak ada air dan tersumbat) adalah breakfast saya setiap hari. Bila tandas kotor, sayalah yang di panggil dan di soal. Kalau orang tak flush toilet pun, sayalah yang perlu bertanggungjawab. Takkanlah saya perlu menunggu dan bertanya kepada setiap orang yang menggunakan tandas, sama ada mereka dah flush toilet ataupun tidak? Rasanya, memang bendani dah seringkali diingatkan sewaktu gotong royong asrama setiap minggu..Entahlah.. Menjadi KETUA blok tidak membantu saya membentuk 'leadership quality'. I think I wasn't a good block leader. Not at all. Tapi, selama setahun memegang jawatan tersebut, saya belajar untuk bersabar melayan kerenah sahabt - sahabat di asrama (sakit demam mereka, ada yang homesick and etc), bersabar dan berdiam diri apabila dileteri oleh PK HEM. Kerja - kerja mencuci tandas, longkang, kemas dorm menjadi sebahagian daripada rutin kami di asrama. Bila pulang bercuti, rutin tersebut saya teruskan di rumah. Rimas dan tak tenang tengok rumah bersepah dan kotor. Tarbiayah untuk berumahtangga, insyaallah.

Sewaktu saya berada di Tingkatan 4, Bonda (pengetua) mencadangkan agar Minggu Penghayatan Islam(MPI) diadakan dan kakak - kakak pengajian Islam daripada UM Nilam Puri akan menjadi FC. Apa yang 'menarik' program tersebut hanyalah untuk(baca: wajib) pelajar tingkatan 1 dan 4.

Dah wajib, kenalah join. Tak dapatlah nak berehat weekendni. Redha sajalah. Program tersebut diadakan selama 3 hari (Khamis, Jumaat, Sabtu). Kakak - kakak FC tidur di asrama bersama kami. Saya menjemput mereka ke asrama. Subhanallah, mantap - mantap kakak ni semua. Baik dan ada yang berpurdah. Usai solat maghrib, kakak - kakak daripada Nilam Puri memberikan sedikit pengisian.
"Sepanjang Minggu Penghayatan Islamni, kami nak adik - adik semua (form 1 - 5), buat beberapa perkara..." kata salah seorang daripada kakak Nilam Puri..
Memang ada beberapa perkara yang perlu kami patuhi semasa MPI tapi yang paling mengejutkan kami semua adalah perlu menutup aurat dengan sempurna(bertudung and etc) di dalam kawasan asrama(ie keluar daripada dorm. Saya sendiri agak terkejut dan rasa macam tak nak ikutje peraturan tu.Huhu..tapi bagi memandangkan sayalah antara orang yang menjemput kakak - kakak tersebut ke asrama, maka ikut sajelah...

Kak Farhan adalah FC group saya. Salah seorang daripada kakak yang berpurdah, bersuara merdu. Banyak cerita yang dikongsikan. Bagaimana kak Farhan memilih untuk berpurdah, kisah gadis Kristian yang memeluk islam dan diculik semula oleh paderi. Walaupun agak penat kerana berprogram (lebih - lebih lagi apabila kami dikejutkan untuk berhimpun di dataran sekolah pada jam 4 pagi), tapi hati saya puas. Seminggu selepas program tersebut, ma dan abah melawat saya dan kami pergi berkelah di Jeram Pasu(tak jauh dari sekolah, 5 minutes drive).

"Ma, nanti cuti sekolah, adik nak buat baju lengan panjang yang labuh macam baju kurung boleh?" saya bertanya kepada ma

"Kenapa?..Boleh. Nanti kita beli kain dan pergi tempah jahit,"

"Minggu lepas ada Minggu penghatan Islam, ada kakak - kakak dari UM Nilam Puri datang..sejuk je tengok diorang,:)..Nanti ma balik rumah, ma alihkan baju-baju lama adik kat tempat lain ye,"

Hati saya tersentuh melihat kakak - kakak Nilam Puri. Mereka lembut dalam ketegasan. Malah, kekuatan yang diberikan Allah untuk saya berubah adalah melalui mereka terutamanya kak Farhan. Jazakumullah kepada kakak - kakak semua. Insyaallah, semoga nanti kita bertemu lagi dan semoga sepanjang perjalanan hidup ini saya sentiasa dipertemukan dengan insan seperti mereka, Insyaallah.

Ogos 2001 (saya masih di tingkatan 4), kami mendapat pengetua baru. Lain pengetua, lain caranya. Pengetua baru kami memang seorang yang mementingkan kebersihan dan keceriaan sekolah (walaupun tak ada air, lantai dan longkang semua kene berkilat). Huhu..

Pada bulan September tahun tersebut, Pengetua - pengetua SBP mengadakan lawatan ke Putrajaya (masa tu Putrajaya baru siap. Tak tahulah saya apa yang mereka lawati di sana). Pulang daripada Putrajaya, pengetua mengutarakan cadangan untuk membuat Wetland seperti di Putrajaya di sekolah kami. Kawasan sekolah kami luas dan masih banyak yang kosong, sesuai untuk buat 'Wetland'. Cadangan yang 'BERNAS'. Nanti bila - bila tak ada air bolehlah kami semua terjun dalam 'Wetland' tu. Saya sendiri tidak bagaimanakah rupa 'Wetland' di Putrajaya tersebut,tapi saya sendiri tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Lebih baik peruntukan yang akan digunakan untuk projek tersebut digunakan untuk membaiki tandas yang tersumbat dan paip - paip yang patah di asrama. Semua warga SMSPP tidak bersetuju dengan idea tersebut. Lebih - lebih lagi apabila kami diWAJIBkan untuk mendermakan duit claim tambang pengangkutan pulang bermalam (at least RM 10) yang diberikan kepada kementerian untuk projek tersebut. Cikgu - cikgu juga diwajibkan untuk memberi sumbangan tetapi dengan jumlah yang lebih tinggi. Saya tidak bersetuju, tapi hanya hati yang memberontak, bibir hanya diam membisu. Kawan - kawan yang lain lebih berani, ada yang mengetuk meja dewan makan sewaktu pengetua mengumumkan cadangan tersebut di dewan makan, ada juga yang memaki dan mengeluarkan kata - kata yang tak manis didengar. Katelah apa sahaja, projek tersebut tetap akan diteruskan dan derma wajib tersebut tetap akan dikutip.

Pembahagian duit claim pulang bermalam kali ini lebih special. Duit diagihkan sendiri oleh pengetua dan PK HEM dan dimulakan dengan pelajar tingkatan 4.Setiap pelajar yang memderma perlu menulis nama mereka dan jumlah yang mereka dermakan. Kata Pengetua, nama - nama ini akan di'frame'kan di Dewan Seri Gemilang (Nama dewan sekolah kami memang gemilang =)) Giliran pertama,kelas 4 Aisyah. Giliran kedua, kelas saya (4 Balqis), saya berada di tengah barisan, diam dan asyik memerhatikan gelagat kawan - kawan. Takut jugak mendengar kata - kata mereka yang tidak meng'halal'kan duit derma tersebut. Akhirnya, giliran saya mengambil duit. Alhamdulillah, duit claim saya berjumlah RM 32, RM 10 diberikan untuk 'Wetland', ada lagi RM 22.So, saya okjelah dengan derma ni. Semasa memberikan derma, tiba - tiba saya bertanya kepada pengetua..

"Derma ni wajibke?"

"A'ah, wajiblah," jawab pengetua..

"Kenapa saya belajar derma ni sunatje," Itulah kata-kata yang keluar dari mulut saya.To be honest, saya pun tak tahu macam mana saya boleh berkata sedemikian and honestly I was very innocent when I said that.

Tiba - tiba, pengetua bangun daripada kerusi beliau..

"Awak kalau tak nak derma, ambik balik duit awak. Saya tak nak duit awak,"kata pengetua kepada saya dengan nada yang tinggi.

"Eh, tak! Saya nak derma, saya tanye je tadi," saya membalas. Memang rasa nak nangis je time tu

"Saya kata ambik balik duit awk. Orang lain,lepas ni sape yang nak derma, derma jelah,Tak nak derma sudah. Derma ni sunat, tak boleh paksa - paksa,"

Itulah kata - kata terakhir daripada pengetua yang sempat saya dengar. And of course, I took back my money(dah orang tak nak)..

Guess, I was the spoiler. Memang lepas tu beberapa kerat je yang menderma. Bayangkanlah, kutipan derma daripada pelajar tingkatan 5 hanya RM 7 dan keseluruhan derma daripada seluruh pelajar hanyalah RM 400+. Pengetua mengumumkan kutipan derma ini sewaktu roll call pagi di sekolah and of course, projek 'Wetland' di batalkan. (tak cukup duit nak buat). Saya sedih dengan apa yang berlaku. Nama saya sedikit tercalar. Apatah lagi apabila PK HEM pun turut ada di bilik pengetua ketika peristiwa tersebut berlaku. Pada malam peristiwa tersebut berlaku, Pengetua meminta nama ayah dan no telefon rumah saya daripada kerani sekolah. Saya mendapat tahu perkara ini daripada Ketua Pelajar, yang merupakan classmate saya. I was shocked. Saya bimbang pengetua akan menelefon ma dan abah dan menceritakan tentang hal ini. Of course saya akan dipersalahkan. Abah pula baru sahaja keluar daripada hospital beberapa hari yang lalu.

Lepas pulang daripada prep, saya terus menelefon ma. Daripada ma mendengar cerita ni daripada mulut pengetua, baik saya sendiri yang menceritakan segalanya. Ye, saya menceritakan segalanya kepada ma. Ma marah dengan apa yang saya lakukan. Biadap dan tak hormat orang tua. Ma menangis dan saya pun menangis. Ma menyuruh saya pergi berjumpa dengan pengetua untuk meminta maaf. Saya hanya mendiamkan diri dan akhirnya saya tidak pergi berjumpa dengan pengetua. Entahlah, saya tak bersalah, sebab tu saya taknak pergi dan saya terpaksa 'menipu' ma.

Saya sangat tertekan dengan peristiwa ini. Pada kawan - kawan, junior dan senior, sayalah 'hero'. Selamat duit mereka (dan duit saya juga), tapi saya sedih kerana kisah ini sering diungkit - ungkit oleh Pengetua. Mujurlah exam akhir tahun sudah berakhir cikgu - cikgu yang mengajar pun banyak memberikan semangat.Saya nekad untuk melarikan diri daripada 'keserabutan tersebut'. Kurang 2 minggu, sesi persekolahan akan tamat. Hari selasa minggu tersebut, saya menemui PK HEM meminta kebenaran untuk pulang kerana abah sakit (yes, abah baru sahaja keluar hospital waktu tu). PK HEM membenarkan saya pulang pada hujung miggu (jumaat dan sabtu) tapi meminta agar saya sertakan bersama surat daripada parents. Leceh jugak rupanya. Akhirnya, surat tersebut saya taip dan tandatangan sendiri (baca: tiru tandatangan ma). Surat tersebut saya serahkan pada PK HEM dan hari Jumaat saya pulang ke rumah dengan semua barang - barang untuk pulang bercuti akhir tahun. Guess what, saya bukannya pulang untuk hujung minggu, tapi saya pulang ke rumah sehinggalah tamat cuti akhir tahun tingkatan 4 (ie saya 'ponteng' sekolah selama seminggu)... Itulah kisah terakhir sewaktu saya di tingkatan 4. Sebenarnya, ada kisah 'lucu' yang berlaku sewaktu saya ponteng sekolah..tapi rasanya sudah cukup panjang untuk saya ceritakan.

Inilah sekolah kehidupan saya. Sekolah suka dan duka. 5 Tahun di Kelantan, banyak kenangan yang dikutip. Saya silap mengatakan bahawa negeri berkepimpinan ulama' itu miskin. Tak, negeri Kelantan, baik negeri ataupun rakyatnya lebih kaya daripada negeri kelahiran saya sendiri. Sungguh, nikmat yang Allah kurniakan pada saya dan kita semua sungguh banyak. Tidak terhitung. 5 tahun di Kelantan dan SMSPP adalah nikmat yang tidak dapat saya peroleh di tempat lain. Atas nikmat Allah yang banyak itulah kita bersyukur dan terus bersyukur!

"Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya." (Ad dhuha: ayat 11)

6 comments:

  1. haha..so sweet la cte nieyh...
    me 2...have some moments wif smspp

    ReplyDelete
  2. salam kak...sy junior akak..batch 99-03..best bace cite dr pioneer nih..memori akak sgt bagusss...sy bace cite akak baru sy teringat pasal wetland..hahaha rupanya akak hero...tp kan...sbnarnya kesah wetland tu sy blur je dulu...ke mmg sy blur mase skola dulu2..hehe

    ReplyDelete
  3. akak sy junior 0711,,wetland tu xjadi ape pun,,kering kontang,,tiem hujan jd la wetland,,lets treasure the memories..hidup SCIPP!

    ReplyDelete
  4. akk2 yg kt ats sumer...sya ni junior akk2 sumer batch 1418..msa bca apa yg akk tulis nih mmg sya terasa dkat sgt sbb sya skarang pn msih brsekolah di smspp...and yup smspp dh tkar nama jdi scipp and pengetua bru ktaorg pnggil mummy...a perfectionist bgi kami...amat pntingkn akademik.. kmi byk dgr cerita psal batch pioneer dri cikgu yg dh lama2 mcm cikgu muhammad(dh bersara thun lpas)...dia ckap batch pioneer ni amt bagus sbb dlm semua batch yg ad kt scipp batch ni yg pling 'juruh'...kmi x byk tau sgt psal kes dlu2...btw wetland tu ape?yg dkat mne eh??..mihon akk2 itk citerkn lebih byk lgi...sbb apa yg akk tulis tu semua sya rasa dkat dgn sya as scipp has been an important part of my life till now...thanks again akk!^^ sincerely,jr

    ReplyDelete