Saturday, August 22, 2009

Kelab Poligami..

Bismillahirrahmanirrahim

Seperti biasa, hari ahad adalah hari saya meluangkan masa yang lama untuk membaca newspaper. Biasanya saya hanya membaca headlines pada akhbar harian (dan kebanyakannya tidak menarik minat saya =)), tapi surat khabar Mingguan Malaysia hari ahad minggu lalu mengingatkan saya kepada pertanyaan seorang sahabat sewaktu di KMB.

"Kalau suami ko nak kahwin lagi satu, ko bagi tak?"

Saya terkejut apabila ditanya sedemikian. Yelah, orang tengah ber'irp', tiba - tiba tanya pasal poligami..

"Nak kene jawabke?" saya bertanya kembali

"Yelah, dah tanya, mestilah nak tahu jawapan"

"Hmmm, saya tidak akan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah s.w.t. TAPI cuba dan buktikanlah dengan seorang, sebelum memikirkan tentang dua, tiga , mahupun empat," itulah jawapan yang saya berikan, dan seandainya saya ditanya soalan yang sama pada saat ini, maka itulah juga jawapan saya.

Kelab Poligami
, suami untuk di kongsi, bukan untuk direbutkan.
Khusyuk saya membaca rencana tersebut pada akhbar beberapa minggu yang lalu. Membaca kata - kata dan kisah - kisah mereka (wanita) yang ditakdirkan Allah untuk hidup bermadu. Keesokan harinya, isu yang sama turut dibicarakan dalam rancangan Wanita Hari Ini. Pengasas kelab ini, Ummu Sofwah, dan Ustaz Zawawi, lecturer di UIA antara yang dijemput bagi mengulas isu ini.

"Kelab ini ditubuhkan bagi menyediakan satu bumbung kepada wanita yang hidup bermadu, mengingatkan mereka bahawa hidup bermadu adalah untuk mentaati Allah dan Rasul," itulah jawapan yang diberikan oleh Ummu Sofwah apabila ditanya tentang objektif penubuhan kelab ini.

"Seorang wanita perlu merasakan dirinya bertuah kerana dipilih oleh Allah untuk dinaungi oleh payung emas di akhirat kelak.Bukan semua wanita yang layak memilikinya," begitulah antara kata - kata yang diberikan oleh Ustaz Zawawi.

Saya hanya tersenyum mendengar jawapan mereka. Senyum kosong.

Ramai yang memberikan pendapat tentang penubuhan Kelab Poligami ini (termasuklah Menteri Pembangunan Wanita yang pernah mengadakan kempen satu suami, satu isteri). Saya sendiri mempunyai pendapat berkenaan kelab ini.

Saya melihat penubuhan kelab ini sebagai sesuatu yang positif, menyediakan wadah buat wanita yang bermadu (insyaallah, semoga mereka dinaungi dengan payung emas di akhirat kelak) untuk bersama berkongsi cerita, pengalaman pahit manis berkongsi suami serta saling nasihat - menasihati dan memperingatkan di antara satu sama lain.

Saya pasti tidak mudah untuk seorang wanita berkongsi insan yang mereka sayangi (suami). Pasti tidak sedikit airmata yang dititiskan (Wanitakan ada 9 emosi dan 1 akal). Tapi mereka akur, kerana kepatuhan kepada Rabb itulah adalah di dalam suka mahupun duka.

" Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman." (An Nisa: Ayat 3)

Saya yakin dan percaya bahawa setiap yang disyariatkan dan ditetapkan oleh Allah itu ada hikmahnya, tanpa perlu dipertikaikan lagi. Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Adil itu meletakkan 'kelebihan' (baca TANGGUNGJAWAB) kepada kaum Adam yang dikurniakan 9 akal. Tanyalah pada akal itu, apakah diri ini mampu berlaku dan apakah niat di hati ingin menambah 'permaisuri' di hati? Akal yang waras dilandasi iman yang benar di hati, insyaallah tidak akan tersasar.

Perkahwinan dan kehidupan bermadu bukan hanya kenikmatan dunia, bahkan akan turut diadili di akhirat kelak. Sebagai pemimpin keluarga, lebih ramai tanggungan di dunia, lebih besar persoalan di akhirat kelak. Sekiranya tanggungjawab sebagai itu digalas dengan baik dan penuh beramanah, insyaallah, pasti besar dan berganda ganjaran daripada Allah s.w.t. Tetapi andaikata sebaliknya, maka...fikir - fikirlah...

Insyaallah, semoga setiap Baitul Muslim yang dibina dimulakan dengan niat yang ikhlas keranaNya, seterusnya di kurniakan 'mawaddah wa rahmah' di dunia dan akhirat.

BAITI, JANNATI =)


Bismillahirrahmanirrahim

No comments:

Post a Comment