Friday, August 21, 2009

Ahlan ya Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang telah menemukan kita kepada Ramadhan tahun ini, sekali lagi. Salam ramadhan dan selamat berpuasa kepada semua sahabat. Semoga RAmadhan kali ini jauh lebih baik daripada ramadhan yang lalu dan menjadi momentum untuk kita mendekatkan diri kepada Allah. Semoga ibadah puasa yang disyariatkan (dan juga zakat) menjadikan kita hamba yang bertaqwa.

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al Baqarah: 183)

Setiap hari di dalam bulan ramadhan ada keistimewaannya tersendiri, terutamanya kepada hamba Allah yang tekun beribadat dan berdoa kepadaNya. Kita, umat Nabi Muhammad s.a.w beruntung. Umat - umat terdahulu berdoa agar Allah memanjangkan usia mereka, agar dapat lebih lama mengabdikan diri, namun dengan kasih sayang Allah kita dikurniakan malam Lailatulqadr yang lebih baik daripada 1000 bulan. Insyaallah, semoga kita tidak mempersiakan kelebihan yang diberikan ini.

Alhamdulillah, tahun ni buat pertama kali (semenjak fly), saya dapat berpuasa bersama keluarga, walaupun hanya seminggu. Walaupun sedikit terkilan kerana tidak sempat menziarahi puasara sanak - saudara yang terlebih dahulu menyahut seruan Illahi.

2 Ramadhan 1417, To'ki (datuk) pergi meninggalkan kami semua. Memang menyedihkan tetapi kami gembira kerana hasrat To'ki untuk pulang ke Rahmatullah pada bulan puasa tercapai. Masa tu saya berusia 11 tahun dan saya tidak ada di sisi To'ki pada ketika itu. Along pula berada jauh di Scotland. Kehilangan yang cukup dirasai terutamanya apabila usia semakin dewasa, rugi kerana tidak berguru dengan To'ki. Kata Abah, To'ki dulu sesekolah pondok dengan Tuan Guru Nik Aziz, tapi To'ki lebih senior. To'ki sepatutnya meneruskan pengajian agama ke India. tetapi niat itu terpaksa dibatalkan atas kehendak Che'(nenek). "Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama". Alhamdulillah, begitu juga dengan To'ki. Walaupun sudah tiada, kami (cucu - cucu To'ki) masih lagi di panggil dengan gelaran cucu Ustaz Mad (nama To'ki Mohamed bin Abdullah). Insyaallah, semoga keturunan To'ki juga menjadi insan yang faqih dalam agama juga.

Dan Insyaallah, 26 Ramadhan ini, genaplah usia saya 24 tahun. Tiada apa yang istimewa walaupun dilahirkan pada bulan Ramadhan andai diri ini tidak menjadi hamba yang taat kepada Allah s.w.t. Doa saya, agar terus diberikan kekuatan untuk bersujud dan menyerahkan diri pada Allah. Semoga kita semua dipertemukan dengan Ramadhan yang akan datang dalam kebaikannya, insyaallah.


Akhir kata, salam ramadhan, semoga Ramadhan kali ini penuh makna =), insyaallah

1 comment:

  1. akak,
    balik eire bile kah?

    28hb eh?

    hehe. tetiba je tanya kat sini. :P

    ReplyDelete